Followers

Showing posts with label ...renungan.... Show all posts
Showing posts with label ...renungan.... Show all posts

Sunday, January 1, 2012

Syukur

Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Alhamdulillah masih diberi peluang untuk menghirup udara segar 2012. Moga 2012 akan memberi saya peluang yang baik untuk terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Eceh. Siapa tak mau jadi insan yang baik dan berguna kan, lebih-lebih lagi untuk keluarga. thee.

2012 merupakan tahun yang akan merubah rutin hidup saya daripada seorang pelajar kepada seorang yang bekerjaya. Suatu perkara baru yang bakal dipelajari . InsyaAllah.

Untuk 2011,terima kasih! Sememangnya 2011 merupakan tahun yang akan saya kenang dan tak kan lupa sampai bila-bila. Banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini. Peristiwa-peristiwa ini banyak mengajar saya erti syukur. Bersyukur dikelilingi mereka-mereka yang sentiasa menyayangi saya, bersyukur atas nikmat-nikmat yang dikurniakan, bersyukur untuk semua perkara. Seperti yang dinyatakan berikut ;

"Bersyukurlah kepada Allah! Dan barangsiapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji."
(Surah Luqman :12)

Saya mengaku, sepanjang saya menjalani kehidupan ini adakalanya saya lalai untuk bersyukur. Kadang-kadang terasa hidup ni dah cukup sempurna sampai lupa nak mengucapkan syukur kepada Maha Pencipta. 

"Dan apabila manusia ditimpa bencana, dia memohon pertolongan kepada tuhan dengan kembali taat kepadaNya, tetapi apabila Dia memberikan nikmat kepadanya dia lupa (akan bencana) yang pernah dia berdoa kepada Allah sebelum itu..." 
(Surah az-Zumar : 8)

Semoga akan datang saya tidak lalai dengan kurniaanNya. Huhu. Takut leka.


P/s : Alfatihah untuk arwah nenek..

Wednesday, December 14, 2011

Manzil

Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Siapa pernah dengar tentang Manzil? Jujurnya saya tak pernah tahu atau dengar pun tentang Manzil sampailah hari tu kami sekeluarga menunaikan solat Maghrib di masjid Senai. Sementara menunggu masuknya waktu Maghrib, saya membaca satu kitab sumbangan jemaah haji yang mengandungi surah Yassin dan surah-suarah amalan lain. Di bab terakhir kitab ini ada menceritakan tentang Manzil. 

Manzil mengandungi beberapa ayat al-Quran yang diajar oleh Rasulullah kepada para sahabat selaku syifa' (penawar dan ubat) bagi beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari sihir, gangguan jin dan lain-lain.

Kandungan Manzil ini terdiri daripada surah :

  • al-Fatihah, 
  • surah al-Baqarah (ayat 1-5), 
  • surah al-Baqarah (ayat 163)
  • ayat Kursi dan 2 ayat seterusnya ; surah al-Baqarah (ayat 255-257)
  • surah al-Baqarah (ayat 284-286)
  • surah al-A'raf (ayat 54-46)
  • surah al-Isra' (ayat 110-111)
  • surah as-Syaffat (ayat 1-10)
  • surah ar-Rahman (ayat 33-40)
  • surah al-Hasyr (ayat 21-24)
  • surah al-Jin (ayat 1-4)
  • surah al-Kafirun
  • surah al-Ikhlas
  • surah al-Falaq
  • surah al-Nas
Terdapat dua cara mengubati pesakit melalui ayat-ayat Manzil ini;
  1. Pesakit membaca sendiri ayat-ayat ini.
  2. Dibaca oleh orang lain lalu hembus di atas air. Kemudian air itu diminum oleh pesakit.
Perkara penting mengamalkan ayat-ayat Manzil ini ialah kita harus membacanya dengan penuh tawajjuh. Sejauh mana keimanan dan keyakinan seseorang terhadap Allah, sejauh itulah amalan ini akan bermanfaat. 

Sejak kebelakangan ni, saya banyak terdengar cerita mereka yang terkena gangguan akibat dengki. Moga perkongsian ini dapat membantu. Huhu. 

Semoga Allah sentisa melindungi kita. Amiiin.

Saturday, October 8, 2011

Asal Berhala

Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Untuk pembaca sekalian, entri tiada niat apa-apa melainkan berkongsi maklumat yang diperoleh. Thee. Ok, 2 minggu lepas sempat saya pinjam buku dan buku ini bercerita tentang sejarah dan biografi Nabi Muhammad s.a.w. Dalam buku ini ada sedikit sebanyak menyatakan bagaimana pemujaan berhala itu mula bertapak.

Amru bin Lu'ayy seorang lelaki Arab daripada suku khuzaah telah menguasai Mekkah. Dia merupakan orang pertama yang memperkenalkan berhala. Amru seorang yang kaya dan dermawan. Orang mudah terpengaruh dengan kata-katanya dan akhirnya menurut sahaja perintahnya menyembah berhala. Amru telah mencipta binatang yang kononnya suci untuk disembah. Salah satu binatangnya ialah unta yang diberi nama Hami. 

Hami adalah seekor unta betina yang melahirkan 10 ekor unta jantan. Ia merupakan perkara yang luar biasa. Maka sejak itu, unta ini tidak boleh ditunggang dan disembelih sebaliknya dipuja dan disembah. Sejak dari itu setiap suku Arab mempunya berhala mereka sendiri.

Yang menarik lagi adalah berhala yang bernama Isaf dan Nailah, dua berhala yang disembah di kawasan Kaabah. Menurut ahli-ahli sejarah, asalnya Isaf ini ialah seorang pemuda dari Yaman dan Nailah seorang gadis dari Yaman juga. Mereka saling mencintai tetapi tidak dibenarkan berkahwin oleh keluarga mereka.

Ringkasnya, mereka berjanji bertemu di Mekkah dan telah melakukan perbuatan zina dekat dengan Kaabah. Sebagai balasan, Allah menukarkan mereka menjadi batu. Amru telah memindahkan batu mereka dan menjadikannya berhala untuk disembah kerana lupa asal usul batu ini.

Sekian input untuk hari ini. Hehe.

P/s : Moga Allah tak tarik hidayah kita.Amiin.

Wednesday, August 3, 2011

Eh Jerawat!

Assalammualaikum & Salam Sejahtera

" Eh Qilah, asal jerawat naik ni?"

"Dulu tengok muka elok je, ni kenapa tetibe naik jerawat ni?"

"Qilah kuat berangan wei, jerawat banyak tu..ekeke.."


Dah lali dah dengan pertanyaan dan penyataan macam ni. Kadang-kadang rasa macam rendah diri sangat disebabkan jerawat. Oooppss, sorry Cik Jerawat, bukan bermaksud nak menyakitkan hati kamu tapi tu lah hakikat. Perempuan dan jerawat tak secocok. Ramai yang beranggapan macam ni termasuk saya. 

Macam-macam produk saya guna untuk menghapuskan Cik Jerawat. Sampai satu masa dah naik letih, putus asa mengenangkan susahnya nak menghapuskan Cik Jerawat. 

Bila fikir-fikir balik, betapa runsingnya saya memikirkan hal Cik Jerawat tapi pernah tak saya berasa sangat runsing bila mengenangkan amal yang ingin dibawa ke akhirat. Istighfar kejap. Saya terlalu ingin mengecapi kecantikkan dunia sehingga lupa keindahan akhirat.

Baru-baru ni saya terbaca artikel Fatimah Syarha dalam majalah Solusi Isu 32. Di dakam artikelnya ada mengatakan ;

"Orang yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada sentiasa resah memikirkan nasib diri. Kesannya, mereka merintih dan menyesali, membanding sehingga akhirnya merendah diri bahkan sehingga hilang keyakinan dan mungkin menjadi pendengki."

Ya Allah, minta dijauhkan. Sesungguhnya setiap kejadian Mu ada maksud tersirat disebaliknya. Banyakkan memuji, mengingati-Nya. Insya Allah hati menjadi tenang. 

Allah berfirman yang bermaksud;

" Segala puji bagi Allah yang memelihara apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bagi-Nya segala puji di akhirat. Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"
(Surah Saba' 34:1)

Peringatan buat saya. :)

P/s : Manis pe ber Cik Jerawat! Hehe


Wednesday, June 29, 2011

Cinta Terlarang

Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Semalam sempat saya menghadirkan diri ke ceramah Ustaz Nahi. Terima kasih kawan-kawan yang turut sama hadir. Ceramah kali ni berkisar tentang cinta dan tajuk ceramah yang diberi ialah Cinta Terlarang. Ini sempena Minggu Penghayatan Islam anjuran PERMATA al-Jawaher kampus kami.

Kat sini nak kongsi sikitlah dengan pembaca sekelian antara input yang saya dapat semalam. InsyaAllah boleh jadi panduan buat kita. Thee. 

Seperti yang kita tau, Allah telah menganugerahkan manusia naluri untuk meneruskan keturunan dan salah satunya ialah menyukai pasangan yang berlainan jantina.

Sungguhpun begitu, masih terdapat peraturan yang ditetapkan Islam untuk bercinta menyukai pasangan masing-masing. Tujuan Allah menetapkan peraturan ini kerana :

  • Allah sayang dan mencintai manusia ciptaanNya
  • Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan umatnya.
Antara cara bercinta menurut Islam ialah :
  • dengan tujuan untuk berkahwin
  • mohon keizinan wali untuk menyatakan cinta melalui pertunangan
  • kenali hati budi dalam tempoh pertunangan
  • menjaga batas syariat
  • mohon bantuan Allah melalui solat istikharah

Terdapat 3 peringkat bercinta iaitu cinta sebelum kahwin, cinta selepas bertunang dan cinta selepas berkahwin dan semestinya cinta selepas berkahwin itu cinta yang dituntut Islam. 

Bila dengar ceramah ni teringat pula kat sahabat, Cik Fasihah yang sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka yang baru dia kenal. Itu pun kenal sewaktu merisik pas tu terus tunang. 

Teringat kata-kata dia, kalau benda baik, insyaAllah, Allah akan permudahkan. Semoga semuanya berjalan lancar eh Cik Fasihah :)

P/s : Tiba-tiba kita plak terasa nervous kan? haha.


Wednesday, March 2, 2011

Semoga Dipermudahkan

Bermulalah kisah-kisah cikgu praktikum di observe baik di observe oleh guru pembimbing atau pun pensyarah. Ada yang tenang-tenang je menghadapi ujian ini, ada yang agak kelam kabut. Kadang-kadang bukan kelam kabut sebab tak prepare, tapi keadaan sekeliling yang juga mempengaruhi situasi observation ini. 

Tak kurang juga dengan kehidupan guru-guru praktikum yang diasak dengan tugasan-tugasan di sekolah. Pembaca sekalian, sila ambil tahu bahawa tugas seorang guru bukanlah mengajar sahaja tapi macam-macam. Guru boleh jadi tukang kebun, polis, pengawal, setiausaha, babysitter dan macam-macam lagilah. Hebat kan kerjaya guru ini?

Walau apa pun, sila hadapi semua ujian ini dengan ikhlas eh. Hati kita mungkin rasa berat untuk menerima tugasan dari pihak sekolah tambahan lagi tugasan dari pihak IPG yang memang nak tak nak perlu dilaksanakan. Kalau boleh tolak, kita cuba tolak dengan cara yang baik, kalau tidak, terimalah dengan hati yang ikhlas. Kalau hati kita ikhlas, insyaAllah semua kerja kita laksanakan dengan seronok. Try to be positive. Tak rugi kita menolong sebab ingatlah setiap perkara baik yang kita lakukan, Allah akan beri balasan yang baik juga. InsyaAllah.

Jadi di sini, saya nak share doa agar dipermudahkan urusan..


"Ya Allah! Berlemah-lembutlah dengan kami. 
Mudahkanlah segala urusan yang sukar. 
Sesungguhnya memudahkan setiap yang sukar itu amatlah mudah di sisi-Mu."

Semoga setiap perkara yang kita lakukan, Allah permudahkan. 

Selamat beramal.

P/s : Ya Allah, permudahkanlah urusan saya..amiiin.

Monday, February 28, 2011

Hargailah...

Sedang selak-selak majalah kat al-Jawaher, terbaca satu artikel dan tertarik dengan rangkap ini.



Rasanya, bukan sahaja seorang isteri, kaum wanita lain baik kanak-kanak, kawan dan semua yang ada title 'wanita' suka dihargai. Memang betul, tak perlu hadiah-hadiah yang mahal. Cukup sekadar ucapan tanda penghargaan.

Apabila seorang wanita mula memegang tanggungjawab sebagai seorang isteri juga seorang ibu, dialah orang yang paling seronok berbakti kepada rumah tangga. Lagi jika hasil baktinya dihargai atau dirai. Inilah fitrah yang Allah jadikan kepada insan yang bergelar wanita. Selepas berkahwin, semua masanya dihabiskan bersama keluarga. Bagi mereka keluargalah segalanya..suami dan anak-anak..

Bagi mereka yang punya ibu, jangan lupa hargai ibu kamu. Ibu tak pernah lupakan kita walau sesaat pun. Ucaplah sekurang-kurangnya terima kasih. Dia mesti touchinglah! Terima kasih mak..isk..;(

Dan bagi yang sudah beristeri, jangan lupa hargai pengorbanan isteri kamu. Bagi seorang isteri, suamilah segala-galanya. Jadi sila setia ya! Thee..


Motif letak gambar ni, takde motif pun. Haha. Cuma kami dah dengar hal ehwal rumah tangga ni a.k.a kursus kahwin dan kami mengaku, penghargaan itu penting sebab kami golongan wanita =)

Sekian. 

P/s : Isteri amanah dari Allah.

Thursday, February 3, 2011

Wanita Terbaik

Ada banyak hadis atau riwayat yang menyatakan tentang ciri-ciri wanita yang terbaik.

Salah satunya ialah daripada Riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Wanita dinikahi kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah yang beragama anda kan beruntung."

Selain itu daripada Riwayat al-Nasa'i daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata :

Rasulullah s.a.w ditanya,
"Manakah wanita yang terbaik?"

Baginda menjawab :
" Yang menyenangkan suami apabila memandang, yang mentatai jika disuruh, dan tidak membangkang suami apa-apa yang tidak disukai pada dirinya (isteri) dan hartanya (suami). "

Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

" Dunia itu adalah barang perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah."

Kesimpulannya, wanita yang terbaik ialah wanita yang taat kepada agamanya juga taat pada suaminya. Nampak macam mudah kan? Tapi ia tidak semudah yang disangka melainkan kita benar-benar beriman kepada Allah dan taat pada suruhan Nya. InsyaAllah kita akan dapat title 'Wanita Terbaik'.

Dan ingatlah kaum Adam, bonus bagi kamu jika isteri kamu seorang wanita solehah, maka pilihlah wanita itu kerana agamanya ;)

Wahai kaum Hawa, masih tidak terlambat untuk mendidik diri kita ke jalan ini. Jom =)



P/s : Saya nak title tu =)

Thursday, January 13, 2011

Adab Sebelum Tidur

Seperti biasa, Khamis malam Jumaat akan diadakan bacaan surah Yassin dan tazkirah daripada ustaz yang bertugas di surau kampus saya. Alhamdulillah, hari ini saya masih diberi peluang untuk menghadiri majlis ilmu seperti ini. Tazkirah pada hari ini ada menyentuh adab sebelum tidur dan suka saya nak kongsikan kepada kalian. Jadi, rajinlah baca post ini sampai habis eh.

Antara amalan yang patut diamalkan sebelum tidur ialah berwudhu'. Saya rasa umat Islam sedia maklum hal ini. Dengan berwudhu' insyaAllah tidur kita akan dilindungi daripada gangguan syaitan.

Selain itu, elok sekiranya jika kita menunaikan solat sunat taubat sebelum tidur. Kita tak tahu apa akan jadi pada hari esok. Entah kita hidup entah tidak. Mana tahu Allah nak tarik nyawa kita sewaktu kita sedang tidur, tak sempat nak bertaubat. Jadi digalakkan untuk kita menunaikan solat sunat taubat ini.

Tidak salah juga jika sewaktu kita hendak tidur, kita berniat untuk bangun tahajud. Walaupun kadang-kadang tak terbangun dek kepenatan, sekurang-kurangnya kita dapat pahala berniat untuk bangun tahajud. Tapi jika kita bangun alangkah bagusnya. Besar pahala. Bangun pagi dan menunaikan tahajud menjamin kesihatan akal fikiran tau.

Dan akhir sekali, amalan berikut juga perlu diamalkan, fadhilatnya sangat besar :

terima kasih cik fasihah, grab dari facebook awak ;)
(klik gambar ini untuk besarkan eh)

Amalan-amalan ini nampak mudah, tapi berapa ramai yang betul-betul mengamalkannya?

Tepuk dada, tanya iman.

P/s : Peringatan buat diri sendiri juga =)

Saturday, January 1, 2011

Sambutan Tahun Baru





Alhamdulillah, 2011 sudah datang dan saya masih diberikan peluang untuk menikmatinya. Terima kasih Allah =).

Sememangnya semalam terdapat sambutan di setiap tempat including Yong Peng. Saya tak tau macam mana sambutan tu berjalan tapi saya nampak dataran dia dah penuh dengan gerai, kerusi dan pentas. Ada tempat mempersembahkan band-band untuk membuat persembahan.

Tak kisahlah macam mana pun orang ramai sambut tahun baru ni, tapi berbaloikah sambutan sebegini rupa? Apa yang diorang dapat? Saya tak tahu sebab saya tak pernah ikut sambutan begitu. Mungkin mereka dapat tambah kenalan baru, tak pun mungkin mereka dapat rasakan kemeriahan sambutan tahun baru seperti di barat selalu lakukan. Terpulang pada diri masing-masing, saya sekadar bertanya pada diri sendiri. 

Sedang bertanya soalan-soalan sebegitu pada diri sendiri, saya dapat mms dari dua orang sahabat saya. 

Cik Fasihah dan Cik Izaty

Wahaha..sangat cemburu! Mereka berada di Masjid Negara, pun sedang sambut tahun baru juga. Maaf eh, fibi tak dapat join atas alasan jauh. Ekeke.

Mereka mengikuti Program Bina Insan di malam tahun baru ini. Ada banyak aktiviti yang bermanfaat disajikan  kepada para peserta. Tengok saja aturcara tahu untungnya mereka yang dapat pergi.

Tapi yang sambut kat rumah pun tak kurang ruginya. Menghabiskan masa bersama keluarga tidak pernah merugikan tau. Lagi-lagi dapat tengok muka mak ayah, dapat pahala. Hehe. 

Kesimpulannya, macam mana anda nak sambut tahun baru terpulang kepada diri masing-masing. Lain orang lain tastenya. As long as dia tak memudaratkan diri, keluarga dan masyarakat baguslah. Tapi bukankah lagi bagus kalau kita menyambutnya dengan memanjatkan kesyukuran kepada Nya?

P/s : Hitung hari nak praktikal.


Wednesday, December 8, 2010

Hijrah

"Hijrah itu perjuangan,
Hijrah itu pengorbanan,
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan'

Seringkali kita terdengar bait-bait senikata lagu ini berkemundang ketika datangnya awal Muharram. Sememangnya ia berkait rapat dengan proses hijrah Kaum Muhajirn ke Kota Madinah. Jom kita singkap sejarah   hijrah kaum ini serba sedikit serta perkaitan dengan lirik ini.

Hijrah itu Perjuangan.
Penghijrahan kaum Muhajirin dari Mekkah ke Madinah atau Yathrib pada ketika itu adalah satu perjuangan menyebarkan agama Islam.  Di Mekah, pada ketika itu dikuasai oleh kaum Musyrikin dan mereka tidak memberi ruang kepada umat Islam membentuk masyarakat Islam. Makanya mereka berhijrah ke Madinah untuk membentuk masyarakat Islam.

Hijrah itu Pengorbanan
Kaum Muhajirin telah melakukan banyak pengorbanan ketika berhijrah. Terdapat dua keadaan yang sukar diterima untuk kaum ini iaitu :

  1. Meninggalkan tanah air, sanak saudara dan harta benda.
  2. Pergi ke satu tempat belum tentu menjamin kehidupan yang lebih baik.

Hijrah itu Persaudaraan 

Rasulullah s.a.w bertindak mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Kaum Ansar dan tindakan ini dipersetujui kedua-dua kaum ini. Setiap orang Ansar akan mengambil seorang Muhajirin untuk dijadikan saudaranya. Dengan persaudaraan ini, orang Muhajirin dan Ansar dapat menyebarkan agama Islam dengan lebih luas lagi.

Hijrah Membentuk Perpaduan
'Kesatuan dan perpaduan sesama mukmin merupakan asas kekuatan masyarakat dan umat.' Atas dasar ini, Rasululullah s.a.w mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar sekaligus membentuk perpaduan antara kedua kaum ini. 

Harap input ini sedikit sebanyak memberi kesan buat kalian. Renung-renungkan dan selamat beramal ;).

P/s : Ayuh berhijrah ke arah yang lebih baik =)

Wednesday, November 24, 2010

Jangan.


Jangan bangga sangat dengan pakaian yang cantik dan mahal,
kerana pakaian terakhir kita nanti adalah kain kapan.

Jangan bangga dan action sangat dengan kenderaan mewah,
kerana kenderaan terakhir kita adalah van jenazah dan papan keranda.

Janganlah seronok sangat dengan tempat tidur yang empuk dan nyaman,
kerana tempat tidur terakhir kita adalah di liang lahad.

Jangan pula ego dan bongkak kerana mampu memiliki rumah mewah seperti istana,
kita kena ingat,
rumah terakhir kita nanti adalah kubur bertiang dua.

Jangan terlalu megah dengan pangkat dan darjat,
kerana bila sudah tiada nanti,
kita dapat gelaran al-marhum.

Janganlah terlalu bangga dan berlagak dengan wajah yang kacak atau cantik,
kerana bila kita mati nanti wajah itu akan berubah menjadi tengkorak.


Sumber : Solusi Isu:25

P/s : Cantik dan kacak itu subjektif.


Saturday, July 17, 2010

Besarkan Guru di Mata Anak-Anak

Kalau dulu jika anak-anak ditegur atau dihukum, ibu bapa menganggap itu sebagai salah satu cara guru untuk mendidik anak-anak mereka menjadi lebih baik. Tetapi sekarang, anak-anak baru ditegur atau dihukum sikit, ibu bapa mula menyerang sekolah, menyaman guru kerana menganggap itu sebagai satu penderaan yang menyebabkan anak-anak mereka akan menjadi lebih teruk. Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak menyebabkan mereka hilang rasa hormat terhadap guru lantas mula ada yang berani bertindak kurang ajar terhadap guru-guru mereka.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
"Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu ketenangan dan kesopanan dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya."
(Riwayat al-Dalami no.23)

Melalui pembacaan saya menerusi majalah Solusi isu no.19, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak menghormati guru-guru mereka. Antara langkah-langkah yang boleh diambil ibu bapa ialah:
  1. Ibu bapa perlu sokong guru di hadapan anak-anak.
  2. Ibu bapa mesti menyebelahi guru dalam apa jua keadaan.
  3. Terapkan kepada anak-anak sikap berbakti kepada guru.
  4. Ibu bapa perlu bersabar jika anak-anak dihukum.
  5. Sentiasa menghargai guru-guru.
  6. Ajar anak-anak berdoa untuk gurunya .
  7. Hormati sesiapa sahaja yang memberi tunjuk ajar.
Sesungguhnya guru itu seorang insan yang mulia. Tidak rugi kita mendoakan mereka.


P/s : Kita juga bakal bergelar ibu atau bapa, jadi besarkan guru di mata bakal anak-anak kita.

Sumber : Rashidah Mustaffa, Solusi Isu No. 19

Sunday, June 13, 2010

Memilih Suami


" Nak cari lelaki memang senang tapi nak cari suami tu yang susah."

Saya rasa bukan saya sahaja akan berkata begini, wanita lain yang masih belum bersuami juga pasti mengatakan perkara yang sama. Mestilah masa depan kita kot. 

Saya ada terbaca buku bertajuk Kemusykilan Wanita Mengenai Ibadah & Muamalah oleh M.Usman Al-Khusti mengenai aspek yang perlu dilihat ketika ingin memilih suami bagi mengecapi kehidupan rumahtangga yang bahagia. Antara aspek-aspek tersebut ialah :

  1. Kedua pihak mesti saling mengenali pasangannya dari segi agama,akhlak,watak dan pendirian.
  2. Sesuai pendirian,pemikiran, tabiat,kesukaan dan cara hidup.
  3. Mencari yang setaraf, sealiran dan mempunyai selera yang sama.
  4. Kebahagiaan suami isteri ditentukan oleh keadaan pasangan yang sekufu.
Sememangnya, pucuk-pangkalnya bermula dengan lelaki yang soleh.  Doa merupakan salah satu usaha dalam mencari bakal suami yang soleh.


P/s :  " Ya Allah, jika dia jodohku, Kau permudahkanlah dan jika bukan, Kau jauhilah dia dariku. Jika perasaan ini menyayanginya keranaMU, Kau bantulah kami dan jika ianya kerana nafsu semata, Kau jauhilah ia dari kami."


Wednesday, June 2, 2010

Hak Wanita Memilih Suami

Sebagai seorang wanita muslim, kita mempunyai hak dan salah satu hak kita ialah hak memilih suami. Seorang wanita sama ada dara atau janda bebas memilih calon suaminya. Ayah atau ahli keluarganya yang lain tidak berhak memaksanya berkahwin tanpa keinginan atau keizinan mereka.

"Perempuan-perempuan janda tidak boleh dikahwinkan sebelum terlebih dahulu dimintakan kepadanya persetujuannya, dan anak gadis tidak boleh dikahwinkan, hingga lebih dahulu dimintakan izinnya. Kata mereka : Bagaimana tanda izinnya? Nabi menjawab :  Apabila ditanya dia diam sahaja. "
(HR. Bukhari dan Muslim)


" Sesungguhnya seorang anak gadis datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa bapanya telah mengahwinkannya, padahal dia tidak suka, maka nabi menyuruh pilih kepadanya antara menerima atau menolak."
(HR. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Tetapi, sungguhpun kita sudah diberi hak ini, jangan kita sewenang-wenangnya menyalah gunakan ia.Jangan kita memilih mengikut hawa nafsu sehingga sengsara hidup dunia dan akhirat. Pilihlah bakal suami yang mampu membahagiakan kita dunia dan akhirat. 

P/s : Semoga jodoh kita berkekalan bahagia diberkati Allah hingga ke akhir hayat. Amin.

Monday, March 15, 2010

Jagalah Auratmu Wahai Wanita


"Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya selain dari yang nyata. Dan hendaklah mereka sampaikan kudungnya ke leher dan tiada memperlihatkan perhiasannya kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anak-anaknya, anak-anak suaminya, saudara-saudaranya, anak-anak saudara lelaki, anak-anak saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba sahaya kepunyaannya, laki-laki yang menjalankan kewajibannya tetapi tidak mempunyai keinginan dan kanak-kanak yang belum mempunyai pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka pukulkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasan yang tersembunyi. Dan taubatlah kamu semuanya kepada Allah s.w.t."
(An-Nur:31)

 
Tiada alasan lagi buat kita, kaum hawa untuk tidak mentup aurat. Sesungguhnya Allah sendiri sudah menurunkan perintah kepada kita. Tapi kenapa masih ramai yang tidak menurut perintah tersebut?? huhu..

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang. Rambut mereka laksana goh-goh unta. Sungguh mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya."
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Takut! Mereka yang meingkari perintah Allah ini tidak akan masuk syurga. Bau syurga juga tidak dapat dihidu. Bagaimana dikatakan dengan pakaian yang menutup aurat? Rasanya ramai dah sinonim dengan poster ini. Tapi mungkin hanya sekadar pandang tanpa membaca dan menelitinya. Gunalah sedikit masa untuk menghayati. Tidak semua perempuan bertudung itu benar-benar menutup aurat.

*klik gambar untuk besarkan*

Jadi, kenapa masih leka? Sebelum terlewat rebutlah peluang yang ada. Amalkan. Peringatan buat diri saya juga. Renung-renungkan dan selamat beramal! hehe..


P/s : Gembirakanlah Allah dan rasulNya dengan mengikut perintah mereka supaya dikala kamu dirundung malang, Allah dan rasulNya dapat menggembirakan kamu.

Monday, February 15, 2010

Doa Rabitah


Hati ini telah bersatu berkumpul di perut bumi-Mu,
Hati ini telah berpadu bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Hati ini telah mengikat setia untuk mendaulat untuk menyokong syariat-Mu di alam maya,
Maka ya Allah, eratkanlah, ikatan yang ada.

Kekalkan kemesraan yang ada,
Tunjukkanlah jalan yang benar,
Tunjukkanlah dengan cahaya-Mu,
Tiada malam terangi alam-Mu,
Hidup suburkanlah dengan makrifah-Mu tapi jika ingin mematikannya,
Matikanlah sebagai syuhada',
Dalam perjuangan menegakkan, agama yang mulia.

P/s : Kebiasaan kita baca doa rabitah ini ketika membaca al-Mathurat, ini adalah terjemahannya. Renungi dan hayati maksudnya.

Monday, December 28, 2009

Mimpi Khalid Ar Rib'I

Seorang ulama’ tasauf Khalid Ar Rib’i berkata, ketika beliau masuk ke masjid, terdapat beberapa orang yang sedang membicarakan keburukan orang maka beliau pun menegur mereka dan mereka pun berhenti berbicara. Tetapi tidak lama selepas itu mereka berbicara tentang keburukan orang yang lain pula. Khalid Ar Rib’i yang kembali ke arah mereka turut sekali menuruti perbicaraan itu.

Pada malamnya, Khalid Ar Rib’I bermimpi bahawa beliau didatangi seorang yang hitam membawa talam berisi daging babi lalu berkata; “ Makanlah”, Khalid Ar Rib’I menjawab; “ Saya disuruh makan daging babi? Demi Allah saya tidak akan memakannya.” “Engkau telah makan yang lebih keji dari ini!” Orang itu membentak lalu dipaksanya daging babi itu ke dalam mulut beliau sampai beliau terjaga.

Kesan daripada mimpi tersebut, Khalid Ar Rib’I berasa setiap makanan yang dimakan terasa-rasa bau busuknya babi itu dalam mulutnya. Sejak itu, Khalid Ar Rib’I tidak ingin memperkatakan keburukan serta mengumpat orang lain.

P/s : Baca surah al-Humazah, mereka yang mengumpat akan dimasukkan ke dalam neraka al-Hutamah di mana apinya menyala-nyala terus membakar jantung hatinya. Kemudiannya pintu neraka ini akan ditutup rapat mengurung mereka di dalam yang terikat pada batang-batang palang yang panjang melintang.